Keselamatan rakyat di media sosial jadi keutamaan - Menteri Komunikasi

KERAJAAN MADANI tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan rakyat terutama kanak kanak dan keluarga di media sosial, tegas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu jelasnya, kerajaan tidak boleh menangguhkan rancangan untuk melesenkan platform media sosial dalam usahanya menangani jenayah termasuk pedofilia dan aktiviti penipuan yang semakin berleluasa.

"Meta meminta lebih banyak masa untuk membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial, tetapi sejujurnya, kita (kerajaan) tidak boleh memberikan lebih masa.

"Kita menerima aduan orang awam mengenai kewujudan kumpulan pedofilia dalam Facebook, yang jumlahnya telah mencecah puluhan ribu orang kerana beroperasi bertahun-tahun lamanya.
 
"Jadi, saya tidak faham mengapa mereka (Meta) mahu mempertahankan kumpulan scammer dan pedofilia ini," kata Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan di Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada Ogos, Fahmi memaklumkan berdasarkan garis panduan yang dibina bersama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Januari 2025 boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 126 akta tersebut.

Kerajaan menegaskan pelesenan media sosial hanya terpakai untuk pengendali platform dan bukannya kepada pengguna atau pempengaruh.

Bagaimanapun Meta Platforms mengkritik rancangan Malaysia untuk mewajibkan lesen tersebut atas alasan ia kekurangan garis panduan yang jelas dan memberi masa yang terhad kepada syarikat media sosial untuk mematuhi peraturan, sekali gus berisiko terhadap inovasi dan pertumbuhan digital di negara ini.

"Keselamatan rakyat Malaysia, terutama kanak-kanak dan keluarga, tidak boleh kita kompromi dalam hal ini," tegad Fahmi sebagai menjawab kritikan tersebut..

Post a Comment

0 Comments