Bersih ketepi fakta, pencapaian Kerajaan Perpaduan - Kamil Munim

SETIAUSAHA POLITIK Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membuat penilaian gopoh dalam Laporan Penilaian Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) mereka.

Menerusi hantaran di laman X pada Rabu beliau mendakwa Bersih mengetepikan fakta dan kedudukan terkini pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun memerintah negara.

“Reformasi dan agenda perubahan politik, ekonomi dan pentadbiran masih dan sedang berjalan. Reformasi bermaksud prestasi kerajaan mesti dinilai melalui indikator serta petunjuk ekonomi secara keseluruhan serta keyakinan pelabur yang bertambah baik dan melaju.

“Lantas, kejayaan-kejayaan ini tidak akan mampu terpacul tanpa urus tadbir dan asas baik yang telah dipasak kerajaan secara cermat dan bijaksana,” tegasnya.

Bersih memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara ekoran wujud apa yang didakwa mereka jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.

Sementara itu tegas Muhammad Kamil, beberapa keputusan besar tidak popular dilaksanakan kerajaan antaranya penyasaran subsidi diesel menjadi langkah wajar dan berani untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Bantuan langsung kepada rakyat pula telah ditingkatkan selain pewujudan akta fiskal yang menuntut kerajaan berbelanja mengikut keupayaan dan tidak boros.

"Ia sememangnya reformasi yang begitu mendesak dan diberi keutamaan.

“Hal-hal lain sedang direncana termasuk akta perolehan kerajaan bagi memastikan sistem hasil lebih telus dan berintegriti juga merupakan antara dasar reformasi yang kini masih dirangka.
 
“Perdana Menteri dan kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan serta kritikan yang bertanggungjawab,” ujarnya sambil menegaskan perubahan harus dilaksanakan dengan bijaksana, tidak gopoh serta mengikut keutamaan berdasarkan konteks keadaan semasa.

Post a Comment

0 Comments