Tangani pertindihan fungsi BBP, Kerajaan tubuh jawatankuasa khas

KERAJAAN menubuhkan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) sebagai usaha menangani pertindihan fungsi dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa memberitahu, jawatankuasa itu dipengerusikan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon.

"Apabila dikaji semula seperti mana yang disinggung oleh Yang Berhormat (Datuk Mohd Shahar Abdullah), memang ada pertindihan dan kadang-kadang perlu diingatkan mengenai matlamat asalnya.

"Apakah masalah yang memaksanya menjana pertumbuhan, berdaya maju secara komersial tetapi di samping itu memenuhi agenda negara," katanya.

Mohd Shahar (BN-Paya Besar) sebelumnya mengemuka soalan mengenai pelan di bawah agenda reformasi khusus untuk GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi untuk memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan ekonomi nasional tercapai.

Mengulas lanjut Anwar menegaskan, meskipun badan-badan tersebut bebas di bawah lembaga masing-masing, mereka tidak wajar mengetepikan prinsip tata kelola dan tadbir urus yang ditetapkan.

Sebagai rekod, Anwar pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan awal September lalu menjelaskan, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menangani isu pertindihan fungsi badan berkanun sekali gus disasar dapat memberi penjimatan dana negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sekretariat itu akan bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan 'reform' atau pembaharuan membabitkan perkhidmatan awam.
 

Post a Comment

0 Comments