Selangor tubuh pasukan khas bantu pulihkan anak-anak GISBH

KERAJAAN Selangor menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus bagi kanak-kanak yang diselamatkan daripada premis Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan bersama oleh Exco Agama Islam Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari.
 
"Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dan mengambil serius tentang kebajikan kanak-kanak dan kelompok rentan.

"Pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberikan tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan.

"Ia bukan sahaja melibatkan isu-isu akidah tetapi juga kebajikan, isu kesihatan dan perkembangan mental-fizikal untuk memastikan kanak-kanak ini dapat dipulihkan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan, penubuhan pasukan khas itu berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Okt lepas.

Bagi peringkat awal, pasukan itu akan dianggotai wakil daripada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak Yayasan MBI serta Yayasan Selgate.

Sehubungan itu, mesyuarat pertama pasukan khas berkenaan akan berlangsung pada 11 Okt ini dengan dipengerusikan oleh Mohammad Fahmi dan Anfaal.

Awal September lalu, pihak berkuasa polis menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISB kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Setakat semalam, Jumlah kanak-kanak yang diselamatkan berjumlah 662 orang dan kesemua mereka juga kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.

 

Post a Comment

0 Comments