Selangor giat usaha jadi pintu masuk industri halal rantau Asean

KERAJAAN NEGERI Selangor mempergiat usaha untuk meneroka ekosistem halal sekaligus memperkukuh status negeri itu sebagai pintu masuk industri di rantau Asean dan dunia.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 akan membuka peluang untuk  mempromosi sektor tersebut sekali gus mengangkat Selangor dan Malaysia sebagai hab halal dunia.

“Kita mulakan dengan Asean sebelum mengembangkan lagi industri ini ke peringkat global. Permintaan produk dan perkhidmatan halal semakin mendapat perhatian.

“Sektor ini bukan sahaja menjana pendapatan untuk negeri ini tetapi mewujudkan peluang untuk semua jenis perniagaan berkembang maju,” katanya melalui ucapan perasmian Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu jelasnya, Kerajaan Negeri Selangor komited memastikan pensijilan halal yang dikeluarkan menepati standard antarabangsa dan diyakini pengguna.

Negeri itu mempunyai kemudahan lengkap seperti Hab Halal Selangor di Pulau Indah dan Taman Halal Nasional PKFZ di Pelabuhan Klang yang turut mendapat pensijilan status halal Malaysia (Halmas), iaitu pengiktirafan kepada pengendali kawasan industri halal.
 
“Bagi pengguna, ia diterjemahkan kepada kepercayaan, keselamatan dan jaminan produk yang mereka beli memenuhi piawaian yang ketat, kualiti dan piawaian etika.

“Tahap pematuhan ini adalah penting kerana ia bukan sahaja mengukuhkan perniagaan tetapi juga mengangkat kedudukan sebagai peneraju global dalam industri halal,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments