Akta Lompat Parti: Kerajaan Persekutan bersikap terbuka pada cadangan tambahbaik

KERAJAAN PERSEKUTUAN bersikap terbuka untuk menerima sebarang cadangan penambahbaikan Akta Anti Lompat Parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, langkah itu bagi membolehkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dibincang dengan teliti sebelum diusulkan.

"Ketika ini Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diwartakan pada 6 September 2022.

"Antara implikasi utama pelaksanaan undang-undang tersebut ialah mana-mana Ahli Dewan Rakyat akan kehilangan kelayakan Ahli Dewan Rakyat sekiranya melepaskan keanggotaan parti politik, berhenti menjadi ahli parti politik atau setelah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat bebas, menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

"Pada masa kini, sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada parti politiknya, dia tidak perlu mengosongkan kerusi," katanya dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bertanyakan rancangan kerajaan terhadap pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkemas, memperjelas dan memantapkan Akta Anti Lompat Parti.

Terdahulu pada 15 Julai lalu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan, pindaan kepada Akta A1663 perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.

Tegasnya, Jabatan Perdana Menteri masih menunggu mana-mana pihak termasuk Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan cadangan bagi membolehkan akta tersebut dipinda bertujuan penambahbaikan.
 

Post a Comment

0 Comments