Polis kerjasama dengan pihak berkuasa luar negara siasat syarikat GISBH

PIHAK berkuasa polis telah memulakan prosiding siasatan terhadap syarikat berkaitan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd yang beroperasi di luar negara
 
Menteri Dalam Negeri (KDN)  Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui, siasatan terhadap kes itu di luar negara bukanlah sesuatu tugas yang mudah namun ia akan tetap dilakukan bagi menjejaki dan mendapatkan semula aset dimiliki kumpulan itu.

Justeru jelasnya,  pihak polis telah  menghubungi pihak berkuasa di 18 negara yang dikesan menjadi lokasi syarikat berkenaan beroperasi.
 
"Pihak polis telah memulakan langkah menghubungi negara-negara berkenaan dengan mengguna pakai Mutual Legal Assistance (MLA) bagi memudahkan kerjasama," katanya pada sesi penerangan menteri mengenai isu GISB di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain baru-baru ini dilapor media berkata, PDRM memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISBH di luar negara membabitkan 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Sementara itu Saifuddin turut memaklumkan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyelesaikan isu nasab anak-anak kumpulan itu mengikut setiap kes yang dikendalikan.

Jelasnya, JPN sedang menjalankan siasatan menerusi family tree bagi mengenal pasti ibu bapa kepada sejumlah kanak-kanak yang telah diselamatkan dari beberapa rumah amal GISBH.



Post a Comment

0 Comments