Pengamal media diingatkan jaga batas dalam pelaporan

 

PENGAMAL Media di negara ini diingatkan supaya menyampaikan sesuatu pelaporan berita dengan mengambil kira tanggungjawab sosial termasuk menjaga aib, batas dan adab.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil  berkata pelaporan lebih beretika merupakan tanggungawab pengamal media kerana respons masyarakat terhadap sesuatu isu juga bergantung kepada laporan mereka.

Merujuk teguran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada media melalui khutbah Jumaat berkaitan liputan keterlaluan isu perceraian pasangan personaliti terkenal baru-baru ini, Fahmi mengingatkan tanggungjawab mendidik dan memupuk satu sikap positif dalam kalangan rakyat juga adalah tanggungjawab pengamal media.  

“Itulah sebab kita berharap secara umumnya media memainkan peranan menyampaikan pelaporan dengan mengambil kira aspek-aspek kemasyarakatan, sebagai contoh etika kewartawanan dalam melaporkan tentang kanak-kanak dalam sesuatu kes jenayah, kita tidak boleh dengan begitu sewenang-wenangnya memaparkan wajah mereka,“ katanya.

JAIS menerusi khutbah Jumaat bertajuk “Kukuhkan Ikatan Perkahwinan, Elakkan Penceraian” menegur pihak media agar menghormati privasi pasangan selebriti berkenaan.

Khutbah itu menegaskan, perceraian bukanlah sesuatu yang harus digembar-gemburkan kerana ia merupakan satu pengalaman yang sangat peribadi, pahit dan menyakitkan.

Sementara itu menurut Fahmi, pada hari isu perceraian pasangan itu dilaporkan, beliau dapati lima daripada tujuh hingga lapan surat khabar yang dilanggan setiap hari, memaparkan berita sensasi itu pada muka hadapan.
 

Post a Comment

0 Comments