Malaysia komited kukuh hubungan diplomasi negara anggota ASEAN - Pengerusi AIPA

MALAYSIA menyatakan komited untuk meningkatkan integrasi serantau dan memupuk diplomasi parlimen agar memanfaatkan semua negara ASEAN.

Perkara itu dinyatakan Presiden baharu AIPA ke-46 yang juga Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada sesi dialog dengan rakan sejawatannya Tran Thanh Man, di Hanoi, Vietnam.

"Memandangkan Malaysia menyandang jawatan Presiden AIPA (Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN) di bawah tema 'Inklusiviti dan Kelestarian', Malaysia bertekad untuk mengukuhkan lagi integrasi serantau dan memajukan diplomasi parlimen yang memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN.

"Penglibatan di Vietnam ini menandakan permulaan kepimpinan Malaysia dalam AIPA, dengan tujuan memacu pertumbuhan inklusif, inovasi digital dan pembangunan mampan di seluruh rantau ASEAN, pada masa yang sama mengukuhkan kerjasama parlimen dalam kalangan negara anggota," menurut kenyataan dikeluarkan Parlimen Malaysia pada Khamis.

Pada sesi dialog tersebut, kedua-dua pemimpin membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang utama seperti teknologi tinggi, pelancongan, perdagangan dan tenaga.

Vietnam turut menyatakan minatnya yang mendalam untuk mendapatkan kepakaran Malaysia bagi melatih syarikat-syarikat Vietnam dan pihak berkuasa tempatan mengenai proses pengeluaran dan pensijilan halal.

Sementara itu dialog juga menggariskan kemajuan luar biasa dalam hubungan dua hala, dengan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara Asia Tenggara meningkat kepada hampir USD$10 bilion dalam lapan bulan pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 15.2 peratus berbanding tahun sebelumnya..
 


Post a Comment

0 Comments