KPM akan laksana intervensi tingkat pembabitan dalam bidang STEM

 

KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM) akan melaksana langkah intervensi bagi meningkatkan pembabitan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, nisbah ditetapkan kementerian antara pelajar STEM dan sastera atau sains sosial masih diparas rendah.

Justeru langkah intervensi  di bawah agenda reformasi pendidikan itu akan dilaksana melalui kerjasama rapat dengan pihak industri.

"Hal ini (intervensi) adalah bagi memastikan peningkatan berlaku dengan lebih baik lagi khususnya dalam konteks STEM yang (dalam intervensi terbabit) kita (KPM) memberikan tumpuan kepada segmen-segmen (pendidikan STEM).

"Ia termasuk (perihal) anak-anak (pelajar) kita mesti juga dibantu oleh kaunselor terlatih untuk memastikan mereka mendapat sokongan sepenuhnya ketika memilih jurusan STEM itu," katanya.

Fadhlina ditemui selepas selesai sesi Forum Jaringan Industri ke Arah Kemampanan TVET KPM di Auditorium Kolej Vitrox di Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.

Forum berkenaan membincangkan potensi pelajar TVET di bawah KPM melalui jaringan dan kerjasama dengan pihak industri.


Sementara itu Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kementerianya akan memperluaskan rakan sinergi dalam usaha memperkasakan pendidikan TVET.

"Dalam era teknologi semakin berkembang pesat dengan teknologi dan kepakaran tertentu memerlukan kita mengetahui keperluan industri dari semasa ke semasa.

"Ini termasuk mengenai keperluan guru kita untuk menguasai ilmu kemahiran di peringkat industri supaya mereka seiring dan dapat menyampaikan pengajaran itu dengan lebih baik dalam persiapan serta persediaan untuk anak-anak murid kita," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments