Persekutuan serah 3 projek siap kepada Kerajaan Pahang

KERAJAAN PERSEKUTUAN meluluskan 40 projek di Pahang menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Timbalan Menteri PETRA Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 itu melibatkan kos hampir RM6.0 bilion dengan 25 daripadanya dikendalikan  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang.

Daripada 25 projek itu 13 merupakan projek sambungan manakala 12 projek baharu yang keseluruhannya melibatkan peruntukan lebih RM4.1 bilion dan telah dimulakan tahun ini.

"Projek itu merangkumi kerja-kerja antaranya tebatan banjir, menaik taraf sistem saliran dan pemuliharaan pantai yang dijangka siap secara berperingkat.
 
“Ia termasuk projek tebatan banjir di Sungai Lembing (Kuantan) melibatkan kos RM126 juta yang telah bermula tahun ini dan dijangka siap sama ada Disember 2026 atau awal 2027,“ katanya.

Terdahulu Akmal Nasir hadir ke Majlis Penyerahan Tiga Projek Siap kepada kerajaan Pahang yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim.

Ia membabitkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB)  Lembah Bertam-Sungai Ringlet dan menaik taraf Sungai Belat, Kuantan, Pahang membabitkan peruntukan lebih RM155 juta yang dijangka akan meminimumkan kesan banjir kepada kira-kira 38,000 penduduk.

Turut diserahkan adalah projek mencegah hakisan di Pantai Sepat, Kuantan dengan kerja-kerja menambak pantai (beach nourishment) bagi memulihara semula kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan dan mengurangkan kesan hakisan di kawasan pantai sepanjang 1.2 km.
 
“Kita memutuskan untuk buat proses penyerahan bagi memastikan projek yang telah disiapkan mencapai objektif dan sebagai pengetahuan kepada orang ramai mengenai infrastruktur yang siap dibina ini,“ tambahnya.

Dokumen penyerahan projek ditandatangani Timbalan Ketua.Pengarah (Sektor Bisnes) JPS, Ir Amiruddin Alaldin dan Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Pahang, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.


Post a Comment

0 Comments