Malaysia - New Zealand setuju keperluan segera gencatan senjata di Gaza

MALAYSIA dan New Zealand melahirkan kebimbangan serius terhadap situasi kemanusiaan di Gaza.

Laman web rasmi kerajaan New Zealand Beehive.govt.nz memetik kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari New Zealand Christopher Luxon berkata aliran bantuan kemanusiaan yang pantas, besar-besaran, tanpa halangan dan berterusan ke Gaza amat diperlukan.

"Para pemimpin juga menggesa gencatan senjata segera dan kekal. Ini adalah kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Peningkatan ketegangan di rantau itu menjadikan gencatan senjata di Gaza lebih mendesak," menurut kenyataan itu.

Luxon akan mengakhiri lawatan rasminya ke Malaysia hari ini. lawatan ini merupakan pertama kali sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November tahun lalu.

Pada Isnin, Luxon diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya sebelum mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan antara Malaysia dan New Zealand serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Agensi Berita Palestin (WAFA) pada Ahad melaporkan pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Okt meningkat kepada 40,738 kematian yang dilaporkan, manakala 94,154 individu mengalami kecederaan.

Laporan itu menyebut, majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Post a Comment

0 Comments