Kandungan draf MoU peruntukan pembangkang didedahkan, TPM mahu rakyat nilai sendiri

DRAF memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bertujuan untuk mewujudkan suasana aman dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata begitu melalui satu kenyataan sebagai respon kepada kenyataan media Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Perikatan Nasional menolak draf berkenaan.

"Niat Kerajaan Madani ini adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua Ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.

"Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga kita dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.

"Ini jelas digambarkan dalam mukadimah MoU berkenaan," katanya yang turut berkongsikan draf memorandum berkenaan.

Draf itu adalah antara kerajaan Malaysia dengan Ahli Parlimen Bersatu atau Lampiran A, dan antara kerajaan Malaysia dengan wakil Perikatan Nasional atau Lampiran B, bertarikh Julai 2024.

Lampiran A dan B menggariskan obligasi wakil rakyat terbabit iaitu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina; menyediakan pilihan dasar alternatif berbanding cadangan dasar yang dikemukakan kerajaan; serta menahan diri daripada menyemai kebencian, diskriminasi, atau keganasan sebagai suatu bentuk ekspresi politik atau perbezaan pendapat.

Penandatangan juga akujanji untuk mengemukakan pengisytiharan harta dalam tempoh 14 hari dari tarikh memorandum, serta mengakui bahawa Ahli Parlimen adalah satu jawatan awam dan disebabkan itu perlu berkelakuan mengikut tujuh Prinsip Kehidupan Awam.

Wakil rakyat itu juga perlu mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua manusia, dan semua rakyat mempunyai peranan untuk mempromosi dan menggalakkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua, tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, dan budaya.

Penandatangan juga mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan yang saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan.

Wakil rakyat itu juga mengutuk propaganda, maklumat palsu, atau sebarang idea yang bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum, agama, dan/atau budaya, atau sebarang bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja.

Lampiran A dan B juga menyatakan obligasi kerajaan kepada penandatangan, antaranya diberi Dana Pembangunan Kawasan Parlimen mengikut peraturan, tatacara, dan tatakelola penggunaan dana tersebut.

Penandatangan juga diberi akses kepada sumber rujukan, sumber pentadbiran, dan sumber kewangan, seperti ruang pejabat, pembantu Parlimen, dan elaun.

Terdahulu, Hamzah pada Ahad menegaskan pihak pembangkang menolak draf itu yang dakwanya bertentangan Perlembagaan, mengandungi syarat-syarat yang bertentangan dengan nilai budaya dan agama, tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas, dan mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

"Dengan pendedahan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali,"  tegas Fadhillah.

Fadillah dalam kenyataan sama turut menjelaskan MoU itu akan berkuatkuasa dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen atau pada 19 Disember 2027, mana yang terdahulu.

Ia juga tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan, serta dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang..


Post a Comment

0 Comments