Sijil halal: Raja Kamarul Bahrin gesa polimik tak untungkan sesiapa dihentikan

POLIMIK berkaitan isu sijil halal hanya mengeruhkan hubungan agama dan bangsa selain merugikan Islam sekiranya dibiar berlarutan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad isu tersebut wajar diselesaikan dengan baik tanpa perlu cabar mencabar antara satu sama lain.

"Jika semua pihak ingin tampil menjadi jaguh yang ditonton bergaduh secara terbuka di alam maya maka yang akan menjadi mangsa besar adalah ketenteraman negara yang akan menyambut Hari Malaysia beberapa hari lagi.
 
"Marilah kita bersama-sama menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW kesayangan kita dengan mengamalkan sebaik-baik amalan Islam dengan berdakwah penuh bijaksana supaya segala tindakan kita akan menguntungkan Islam dan negara.

"Dunia hari ini penuh dengan pergolakan yang dahsyat. Mana-mana pihak yang berjaya sekalipun dalam pergolakan, sanggupkah kita melihat negara Malaysia jika kita menang menjadi arang, kalah menjadi abu?," tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin turut menyatakan sokongan terhadap pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa semua pihak agar menghentikan polemik mengenai pensijilan halal secara terbuka kerana akhirnya merugikan Islam.

"Tidak ke mana isu ini dibawa dengan memanggil pihak lain dengan gelaran nama yang kurang enak untuk didengar dan saling cabar-mencabar

"Mufti menyatakan sesuatu yang akan menguntungkan semua pihak terutama mereka yang dahagakan kebenaran dan bukan impikan publisiti murahan yang akan merosakkan semua pihak.

"Alhamdulillah... kenyataan bijaksana Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad telah mempamerkan kebijaksanaan yang amat kita dahagakan," tambahnya.

Terdahulu, pandangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mewakili kebimbangan masyarakat bukan Islam yang bimbang perniagaan mereka akan diwajibkan mendapatkan pensijilan halal mencetuskan kontroversi.

Bagaimanapun Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kemudian tampil mengkritik dengan menyatakan menyatakan Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

Cabar mencabar antara kedua-dua mereka membawa kepada Teresa mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang ke atas Muhamad Akmal..


Post a Comment

0 Comments