PERSATUAN
Bola Sepak Malaysia (FAM) merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman peruntukan RM15
juta untuk pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.
Presiden
FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak itu
berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam
memperkasakan skuad kebangsaan.
"Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif
FAM serta warga FAM menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga
kepada Anwar dan kerajaan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM15 juta
bagi memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.
"Sudah
tentu FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen Perdana
Menteri dalam memberikan peruntukan tersebut selain beliau sendiri
menyatakan secara peribadi untuk memantau dan membantu dalam usaha
memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya," katanya dalam kenyataan.
Peruntukan
itu diumumkan Anwar pada ucapan Perhimpunan Bulanan Kementerian
Kewangan di Putrajaya pada Selasa bagi memastikan skuad negara dapat
menjadi gergasi Asia dalam beberapa tahun akan datang.
Menurut
beliau, peruntukan sebanyak RM10 adalah daripada kerajaan manakala RM5
juta lagi komitmen daripada syarikat swasta khusus untuk kebajikan,
latihan dan pengurusan pasukan berkenaan.
Sementara itu Hamidin
melalui kenyataan sama memaklumkan, FAM akan mengadakan pertemuan dengan
Anwar bagi membincangkan mengenai pengurusan skuad negara.
"Ia
bertujuan membentangkan struktur organisasi pengurusan pasukan
kebangsaan bagi merealisasikan usaha ini dengan satu tujuan iaitu untuk
mengangkat pasukan Harimau Malaya menjadi salah satu pasukan gergasi di
rantau Asia," katanya.
0 Comments