DBKL ketatkan syarat, permohonan kebenaran merancang perlu laporan geoteknikal

DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR (DBKL) menguatkuasa syarat baharu bagi permohonan kebenaran merancang untuk pembinaan bangunan di bandaraya itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, berkuat kuasa serta merta, semua permohonan bagi tujuan itu perlu disertakan dengan laporan geoteknikal yang disediakan jurutera bertauliah

"Syarat ini terpakai kepada permohonan yang sudah ada kelulusan tetapi development order (arahan pembangunan) belum dikeluarkan, permohonan yang masih dalam proses dan permohonan yang akan dikemukakan," katanya.

Dr Maimunah ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi & Penyampaian Hadiah Floria 2024 di Persiiran Tasik, Presint 2 di Putrajaya pada Ahad.

Pada 23 Ogos lalu, seorang warga India, Vijaya Lakshmi Gali, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India.

Susulan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa  pada minggu lalu memaklumkan  DBKL akan pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembangunan di sekitar ibu negara.

langkah tersebut bagi memastikan pembangunan di Kuala Lumpur pada masa depan akan lebih teratur dan berkesan selain mengelakkan insiden sama berulang.

Sementara itu, Dr Maimunah ketika mengulas mengenai rangka kerja bagi proses baik pulih tanah jerlus di kawasan Jalan Masjid India berkata, tempoh masa diperlukan kerana ia membabitkan pelaksanaan audit integriti, pemeriksaan saluran air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kajian kekukuhan tanah dari segi geologi di kawasan berkenaan.
 
"Sebab itu kita perlukan masa antara tiga hingga enam bulan untuk menjalankan kajian terperinci bermula dari pintu gerbang Kampung Baru hingga pasar raya besar di Jalan Masjid India," katanya.

Post a Comment

0 Comments