RUU CCUS diranka berdasarkan undang-undang, tegas Menteri Ekonomi

KERANGKA undang-undang berkaitan industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia yang sedang dirangka kerajaan akan dipandu dan diikat oleh pandangan undang-undang yang diberikan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan berkata, kerangka itu termasuk aspek berhubung tafsiran persempadanan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Perkara itu jelasnya telah termaktub di bawah Akta Pelantar Benua (1966), Akta Zon Ekonomi Eksklusif (1984) dan Akta Laut Wilayah (2012).

"Sementara perbincangan mengenai perbezaan tafsiran persempadanan ini terus berlaku di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melalui platform Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mencari titik penyelesaian, Kementerian Ekonomi akan memastikan pembangunan kerangka undang-undang CCUS akan mengambil kira sebarang keputusan yang dipersetujui bersama,” jelas Ahli Parlimen Pandan itu.
 
Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pelan peralihan tenaga negara itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada November depan.

Penggubalan undang-undang nyahkarbon itu bertujuan mengawal selia aktiviti berkaitan, sekali gus menarik lebih ramai pelabur masuk ke negara ini.
 
Rafizi dalam kenyataan semalam turut menjelaskan, pada mesyuarat Majlis Tenaga Negara pada 2 Ogos lepas, Kerajaan Persekutuan mengambil maklum pendirian Kerajaan Sarawak yang dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkenaan pembangunan kerangka undang-undang untuk mengawal selia industri CCUS.

"Ini termasuk perkara-perkara berhubung perbezaan tafsiran undang-undang mengenai sempadan negeri antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut memaklumkan sebarang urusan, terutama aktiviti perniagaan yang dijalankan di Sarawak, mesti mengambil kira dan menghormati hak dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri itu.

Post a Comment

0 Comments