Kertas Putih Agenda Negara Menua dijangka dibentang tahun depan

 KERTAS PUTIH Agenda Negara Menua dijangka dibentangkan ke Dewan Rakyat pada penggal pertama 2025.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, laporan dan rangka kerja kertas putih bagi merangka semula kedudukan sosial negara itu akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) terlebih dahulu pada November ini.

“Kita dah siapkan rangka kerja negara menua. Malah, ia akan menjadi salah satu tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)

"Selepas mendapat kelulusan dan dibincang secara mendalam di peringkat kerajaan, ia kemudian akan dibentang kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan Tinjauan Ekonomi Malaysia Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2024, di Putrajaya pada Selasa.

Banci Kebangsaan 2020 mendedahkan peratusan penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas meningkat dengan ketara dalam tempoh dua dekad lalu.

Pada majlis pelancaran penemuan Banci Ekonomi 2023 baru-baru ini Rafizi mendedahkan Malaysia bukan sahaja menjadi sebuah negara yang semakin menua tetapi juga akan melalui proses tersebut dengan keadaan lebih miskin berbanding negara lain.

Sementara itu, beliau menjelaskan, unjuran negara menua perlu diketahui oleh rakyat kerana terdapat kelemahan daripada segi perlindungan sosial.

“Seperti ditunjukkan laporan OECD, kita ada kelemahan dari segi perlindungan sosial terutama kepada kumpulan pencen yang perlu kita beri penekanan segera,” tambahnya.
 
 


Post a Comment

0 Comments