BRICS: PM jangka keputusan permohonan diketahui tidak lama lagi

KEPUTUSAN sama ada permohonan Malaysia untuk menyertai blok kerjasama ekonomi  BRICS mungkin diketahui dalam tempoh beberapa bulan lagi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan, Malaysia tidak akan berdepan masalah besar untuk bersama dalam gabungan dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan itu memandangkan negara-negara utama dalam blok itu menyatakan sokongan kepada Malaysia.

"Buat masa ini tiada (negara yang mahu menghalang penyertaan Malaysia) kerana pemegang taruh utama (seperti) Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan menyatakan akan memberikan sokongan kepada Malaysia.

"Kita sudah mengadakan perbincangan dengan China, Russia dan India yang mana mereka amat menyokong, manakala Brazil dijangka menghantar Menteri Luarnya (ke Malaysia) dalam tempoh terdekat.

"Malaysia amat bertuah kerana kebanyakan negara amat menyokong (penyertaan Malaysia) walaupun saya berasakan mereka belum membuat keputusan sama ada untuk menerima (Malaysia) sebagai anggota penuh atau rakan anggota," katanya.

Perdana Menteri berkata begitu menerusi temubual bersama India Global Today sempena lawatan rasminya ke negara itu.

Secara kumulatif, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah AS$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara-negara kumpulan G7.

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan populasi besar sebanyak 3.21 bilion yang dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE yang berpenduduk 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran mega merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus penduduk dunia.

Pada Januari lalu, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.


Post a Comment

0 Comments