Pihak tak layak terima subsidi diesel jangan cuba naik harga!

SEKTOR-SEKTOR tidak layak menerima subsidi diesel diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga susulan pelarasan harga bahan api itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan pemerhatian selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, didapati ada sektor yang mula menaikkan harga bagi perkhidmatan atau produk yang disediakan.

“Kita juga telah meneliti kenyataan daripada Menteri KPDN semalam mengenai kenaikan harga dalam sektor pembinaan.

“Orang ramai memuat naik pengumuman kenaikan harga daripada pemain dalam sektor pembinaan.

“Kenaikan harga barang ini dibuat atas dasar mereka tidak lagi menerima subsidi diesel sedangkan bila disemak mereka tidak layak menerima subsidi diesel,” kata pada Rabu.

Sementara itu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut berkata, kerajaan memberi peringatan keras kepada mana-mana pihak termasuk dalam sektor makanan dan minuman (F&B) dan juga barang keperluan harian supaya tidak menaikkan harga.

“Subsidi masih ada bagi sektor-sektor yang telah diumumkan, cuma untuk pastikan PM mahu pelaksanaan penyasaran subsidi ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Justeru tambahnya, mesyuarat kabinet yang diadakan semalam mengharapkan satu tindakan yang tegas dapat diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap pihak cuba mengambil kesempatan dari keputusan kerajaan melaksana penyasaran subsidi.

Post a Comment

0 Comments