Ekonomi digital berkembang, dijangka sumbang 25.5 peratus KDNK tahun hadapan

EKONOMI digital  yang kini sedang berkembang pesat mempunyai potensi besar untuk membantu melonjakkan Malaysia di persada ekonomi dunia, sekali gus menjana pendapatan negara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, menjelang tahun 2025 ekonomi digital dijangka akan menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  berbanding 23 peratus ketika ini.

"Dengan peningkatan e-dagang, perbankan mudah alih dan pembayaran tanpa sentuh, e-dompet telah muncul sebagai cara yang mudah dan selamat untuk mengurus transaksi wang.

"Kerajaan telah mengambil langkah penyediaan infrastruktur menyeluruh seperti memperluaskan capaian Internet bagi memudah orang ramai mengaksesnya ,” katanya.

Terdahulu Gobind hadir merasmikan MYDINPay di Mydin Subang Jaya pada Selasa.

Aplikasi itu merupakan yang pertama dibangunkan oleh rangkaian peruncit dan pemborong dalam negara.

Dibangunkan melalui kerjasama Mydin dengan Wavpay, ia menawarkan pelanggan pengalaman membeli-belah menyeronokkan dengan inovasi perniagaan yang memberi kemudahan kepada mereka.

Sementara itu dalam ucapannya, Gobind menyeru pemain industri yang lain untuk mencontohi langkah MYDIN mengadaptasi dan bergerak seiring perkembangan ekonomi semasa, serta menjadi penyuntik kepada perkembangan ekonomi digital negara.

"Pelancaran aplikasi ini amat signifikan dengan perubahan gaya hidup masyarakat pada masa kini yang sedang beralih kepada penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan mereka," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments