Pelaburan Alphabet, Google wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan - PM Anwar

KOMITED pelaburan syarikat gergasi teknologi, Alphabet Inc (Alphabet) dan Google ke Malaysia bukan sekadar melancarkan lagi perancangan transisi teknologi negara, malah akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di laman Facebook berkata begitu sebagai mengulas persidangan secara maya beliau bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat pada Isnin.

"Perbincangan kami turut menyentuh kepentingan kerjasama dan dukungan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) terkait sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.

"Saya tegaskan bahawa ikhtiar-ikhtiar ini akhirnya perlu membawa manfaat ekonomi dan sosial yang menyeluruh tanpa meninggalkan mana-mana kelompok masyarakat terutamanya dari segi literasi teknologi," katanya.

Sesi persidangan secara maya itu diadakan susulan daripada pertemuan mereka di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu

Pada persidangan itu Ruth memaklumkan kemajuan rangka tindakan bidang-bidang yang boleh diperluas syarikatnya di Malaysia, berdasarkan penerangan terdahulu terkait misi dan tumpuan kerajaan Malaysia.
 
"Alphabet dan Google amat mengalu-alukan kepimpinan, komitmen dan kepantasan pemudah cara yang telah diberikan Kerajaan Malaysia sejak pertemuan lalu," katanya.

Pada November lalu, Kerajaan Malaysia dan Google mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital.

Kerjasama itu dijangka akan membuka peluang Peningkatan Kemahiran Inklusif kepada 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026.
 

Post a Comment

0 Comments