Ramanan nasihat komuniti India tak termakan hasutan Ramasamy

KOMUNITI  India di Kuala Kubu Bharu digesa tidak termakan hasutan Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy agar mereka memboikot calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) I, Ramanan Ramakrishnan berkata, belum ada jaminan ADUN dari pembangkang akan tampil membantu komuniti India di kawasan itu sekiranya mereka berdepan masalah selepas ini.  
 
"Jika Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) (bukan daripada Kerajaan Perpaduan) yang menang selepas ini tidak dapat tolong mereka (penduduk KKB), adakah Ramasamy akan pergi tolong mereka?

"Sebab saya banyak kali nampak selepas menang, (alasan yang diberikan) kita bukan kerajaan negeri, kita tiada peruntukan, (jadi) kita tak boleh tolong. Saya nak bertanya adakah masa itu Ramasamy akan tolong mereka?" katanya.

Beliau berkata demikian pada program sembang santai Vanakam Madani di Auditorium Dato Abdul Halim, Batang Kali pada Ahad.

PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, Khairul Azhari Suat (Perikatan Nasional) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari

Sementara itu ketika mengulas dakwaan masyarakat India yang mendakwa  tercicir daripada menerima bantuan dan faedah yang diberikan kerajaan kepada rakyat, Ramanan menjelaskan ia berpunca dari kekeliruan akibat persepsi dimainkan pihak tertentu.

“Berita yang disensasikan pembangkang , dia buat fitnah, tohmahan yang tidak betul, dia keluarkan, jadi itu yang mereka (komuniti India) dapat,” jelasnya.


Post a Comment

0 Comments