Kerajaan salur bantuan awal untuk keluarga mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN MADANI akan menyalurkan bantuan awal RM10,000 kepada setiap keluarga 10 mangsa nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada Selasa.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, memaklumkan bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban ditanggung waris mangsa.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini (Rabu) merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas tragedi berkenaan, kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira-wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka," katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian 9.30 pagi Rabu, dua helikopter yang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut bergesel.

Pesawat itu kemudian terhempas di dua lokasi, iaitu Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, sekaligus mengorbankan 10 orang terdiri kru dan penumpang.

Sementara itu, Khaled turut memaklumkan Kementerian Pertahanan juga menubuhkan tabung khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

Post a Comment

0 Comments