KPM ambil maklum isu kesesakan SK Cyberjaya, ambil langkah susulan

KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM) mengambil maklum isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya sedang melaksana beberapa pendekatan bagi menanganinnya.

Melalui satu kenyataan, KPM memaklumkan antara langkah sementara dilaksana adalah melalui  penyuraian murid ke beberapa sekolah berdekatan

Pembinaan kabin 12 buah bilik darjah tambahan turut diluluskan sebagai penyelesaian jangka pendek.

"Sebagai penyelesaian jangka panjang, SK Cyberjaya (2) yang dibida dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan 3 (RP3) telah mendapat kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.

“Sekolah baharu ini akan dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepat proses pembinaan.

“SK Cyberjaya (2) dijangka siap pembinaannya pada 2028,” kata kementerian itu.

Terdahulu tular di media sosial mengenai murid Tahun 1 sekolah berkenaan yang mempunyai 13 kelas dan setiap kelas menempatkan 50 orang murid.

Sementara itu KPM turut menjelaskan, langkah jangka panjang  termasuk pembinaan sekolah menengah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya (2) yang akan dimohon dalam RMK13 RP1 Tahun 2026, pada tahun ini.

Perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya (3) pula akan dimohon dalam RMK13 RP2 Tahun 2027, pada 2025.