KPKT salur RM220 juta, naik taraf perparitan dan penyelanggaraan kolam takungan

SEBANYAK RM219.6 juta telah disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menaik taraf perparitan dan menyelenggara kolam takungan dari tahun 2023 hingga 2024.

Menterinya, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM69.59 juta diperuntukkan pihaknya bagi projek menaik taraf perparitan dan longkang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh sama.

Kementeriannya turut menyalurkan peruntukan bagi projek penyelenggaraan kolam takungan banjir di kawasan PBT. Sebanyak RM100 juta pada tahun 2023 dan RM50 juta pada tahun 2024.

"Selain itu, KPKT telah menerapkan Pelan Induk Saliran Mesra (PISMA) dalam perancangan bandar mengikut hasil keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara 2023.

"Data pelaksanaan kajian PISMA di Malaysia menunjukkan bahawa sebanyak 32 kawasan telah menyelesaikan pelaksanaan projek ini, manakala tujuh kawasan dalam proses penyediaan kajian dan 10 kawasan masih dalam proses perancangan," kata kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat itu.

Sementara itu beliau turut memaklumkan pakar dan pihak berkepentingan telah dijemput menghadiri Perbincangan Meja Bulat tentang Pengurusan dan Tindak Balas Banjir Berkesan di Bandar.

Persidangan pada  25 hingga 26 Mac 2024 itu dianjurkan Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur  dengan kerjasama pakar terkemuka dari United Kingdom dan Malaysia dalam pengurusan banjir serta ketahanan iklim.

"Acara itu mempamerkan kepakaran bersama KPKT dalam bidang ini, jurang yang perlu ditangani, dan bidang untuk kerjasama masa depan," jelasnya.

Beliau sementara itu berkata, antara faktor kejadian banjir kilat di Malaysia ialah perubahan pola taburan hujan, kesan urbanisasi dan pembangunan tidak bersepadu serta sistem saliran yang kapasitinya tidak mencukupi..

Post a Comment

0 Comments