KONGRES Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berakhir semalam telah menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda untuk pemerkasaan Bumiputera.
Antara resolusi yang diangkat ialah berkaitan kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), iaitu menetapkan satu badan atau organisasi untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Selain itu, melalui kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, beberapa resolusi turut digariskan antaranya mengenai mengukuhkan sistem pendidikan Islam, memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
"Setiap kluster purata (resolusi) ada lapan, ada juga yang lebih, maknanya daripada 10 kluster, (ada) lebih 80 resolusi, namun kita merasakan yang penting bagaimana resolusi ini dapat dilaksanakan.
"Pada hemat saya, dua kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Ekonomi, di mana sekretariatnya adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sendiri sebagai agensi yang melaksanakan," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid sebagai mengulas hasil kongres itu.
KEB 2024 turut memberikan fokus khas kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak, serta masyarakat Orang Asli, industri halal, penguasaan teknologi baru dan bernilai tinggi.
Kongres itu diharap dapat memandu kerajaan merangka dasar atau program baharu berkaitan Bumiputera yang lebih tepat dan efektif serta memenuhi kehendak semasa dan masa depan negara.