Kerajaan tetap akan pertahan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan - PM Anwar

KERAJAAN akan tetap mempertahankan Peruntukan Perlembagaan termasuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu sebagai mengulas cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim supaya Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) meneliti sekiranya kedudukan istimewa bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar memberi manfaat kepada golongan itu.

“Kita pertahankan kedudukan Perlembagaan termasuk Perkara 153. (Jadi) tak perlu bincang, dah ada dalam Perlembagaan,” katanya.

Anwar ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Ke-15 Kuala Lumpur semalam.

Hassan ketika melontar cadangan itu pada Isnin mempersoalkan jika dasar afirmatif sebenarnya telah “dirampas dan dimanipulasi” segelintir golongan elit Bumiputera.

Kenyataan Hassan itu selepas Anwar berkata KEB 2024 akan bersifat lebih inklusif.

KEB 2024 bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping akan mencadangkan pendekatan menyeluruh.

Dianggarkan seramai 3,000 peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak dijangka menghadiri KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

KEB 2024 dianjurkan Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).