PM Anwar junjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar turut mendoakan Seri Paduka berdua dan paduka-paduka anakanda serta seluruh kerabat diraja diberikan keafiatan.

"Merafak Sembah Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Tuanku Sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.
 
"Moga Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat diraja diberi keafiatan dan sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Daulat Tuanku!," menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah menamatkan penggal pemerintahannya sebagai  Yang di-Pertuan Agong pada Selasa dan bakal diganti Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula hari ini.

Keprihatinan dan kasih sayang ditunjukkan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat sering mencuri perhatian.

Anwar pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 baru-baru ini menyifatkan tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah  sebagai satu lembaran sejarah yang baharu dan unik dalam mendepani pelbagai cabaran.
 
Ehsan kebijaksanaan Al-Sultan telah mampu mengemudi negara dalam saat-saat getir.

Post a Comment

0 Comments