DATUK
Seri Anwar Ibrahim malam tadi mendedahkan Malaysia mula dikritik dan
‘diserang’ oleh beberapa kalangan negara Eropah, Amerika Syarikat, dan
Israel susulan kelantangan membela hak Palestin mutakhir ini.
Ketika
menyampaikan Pidato di Kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin di
Stadium Arena Axiata di Bukit Jalil malam tadi, perdana menteri
bagaimanapun menegaskan, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh
rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan
sebarang ugutan.
"Negara-negara berkenaan tidak boleh mengugut
Malaysia kerana Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, serta
mempunyai hak untuk menentukan apa yang betul.
“Kami faham apa makna merdeka. Kamu salah pilih orang (Perdana Menteri). Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka.
“Malaysia
ini akan kekal sebagai negara berdaulat, yang akan mempertahankan hak
dan perjuangan dan kebebasan Palestin,” ujarnya disambut sorokan orang
ramai.
Ribuan masyarakat berbilang bangsa dan agama hadir bagi
menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan penindasan
rejim Israel.
Kebanyakan memakai baju putih, lengkap dengan
mafla dan mengibar bendera Palestin, berkumpul di bawah satu bumbung
demi satu misi, iaitu mendesak agar Israel menghentikan segera serangan
ke atas Palestin.
Ia turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan
negara, pemimpin politik dan jemputan khas, dengan dianggarkan seramai
20 wakil NGO akan menyampaikan ucapan.
“… kita harus
berwaspada. Saya beritahu selagi saya diberikan mandat oleh rakyat, saya
terima ugutan itu. Lawan tetap lawan,” tambahnya yang turut menegaskan
pendirian Malaysia bahawa Palestin perlu merdeka.
0 Comments