KERAJAAN akan menyalurkan bantuan e-wallet RM100 kepada penerima yang layak pada Disember ini, maklum Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.
Dipetik laporan Bernama, Sim berkata inisiatif itu yang diumumkan Perdana Menteri pada Julai lepas bukan sahaja memberi impak kepada isi rumah penerima tetapi juga pasaran tempatan terutamanya kepada peniaga kecil dan penjaja.
“Bantuan e-wallet RM100 ini akan diagihkan pada bulan Disember nanti. Jadi (rakyat) akan dapat (bantuan ini). Rakyat diminta bersabar kerana kerajaan akan tunaikan janji,“ katanya dipetik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif itu ketika Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas.
Golongan B40 dan M40 yang berpendapatan RM100,000 ke bawah dan berumur 21 tahun keatas layak menerima bantuan tersebut.
Sementara itu, Sim turut mengulas bantuan lain diberikan kerajaan kepada rakyat sebagai usaha meringankan beban hidup mereka.
Ia antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2024 yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 yang dijangka akan memanfaatkan 700,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Melalui inisiatif itu jelasnya, penerima yang layak akan menerima sumbangan berjumlah RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.
“Kerajaan beri RM100 selama setahun kepada keluarga di bawah STR setiap bulan, selain STR, bantuan wang tunai secara langsung turut diberikan, ia terus kepada golongan sasaran. Justeru, mereka boleh menggunakan duit itu untuk membeli barang keperluan. This is what we called direct cash transfer,“ katanya.
0 Comments