PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya negara-negara ASEAN dan
China mempelbagaikan strategi dalam perdagangan dan pelaburan di rantau
ini pada masa akan datang.
Dalam ucapannya sempena Ekspo
China-ASEAN (CAEXPO) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan
China-ASEAN (CABIS) di Nanning, China pada Ahad, perdana menteri
berkata, China telah menjadi rakan dagangan utama ASEAN selama 14 tahun
berturut-turut .
“Oleh itu, adalah penting bagi ASEAN dan China untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan kita.
“Walaupun
wujudnya ketegangan geopolitik dan pelbagai faktor ketidakstabilan
lain, kita perlu menumpukan kepada usaha kolektif terhadap soal
keamanan, kestabilan, kemakmuran serantau, dan memupuk hubungan
perdagangan dua hala dan pelbagai hala,” katanya.
Pada masa sama,
Anwar turut memberi penekanan berhubung Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi
ASEAN kerana ia melibatkan isu perusahaan mikro, kecil dan sederhana
(PMKS), yang penting buat negara-negara ASEAN.
“PMKS menyumbang
85% kepada peluang pekerjaan, 44.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) dan 18% kepada eksport negara di ASEAN,” katanya.
Justeru,
beliau optimis CAEXPO akan terus menjadi pemangkin kepada ahli
perniagaan di negara ini, selain memupuk kerjasama perdagangan, dan
merangsang pemulihan ekonomi sebagai simbol kerjasama di bawah
Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA).
“Sejak sedekad
lalu Inisiatif Belt and Road memainkan peranan penting dalam mengukuhkan
hubungan antara rantau ini, malah Malaysia memulakan Taman
Perindustrian Kuantan Malaysia-China dan Taman Perindustrian Qinzhou
China-Malaysia, yang dibangunkan di bawah konsep “Dua Negara, Taman
Berkembar” , ia adalah projek BRI yang wajar dicontohi.
“Kita
percaya di Asia, dengan pelaburan dan perdagangan terus menjadi asas
hubungan ini, kita berkongsi masa depan dan visi, hubungan kita
melangkaui hubungan dan pemahaman antara tamadun yang merupakan konsep
Madani. Saya berharap dapat memupuk hubungan ini dengan lebih baik pada
masa hadapan,” katanya.
0 Comments