Sarawak penerima peruntukan terbesar program Jendela

SARAWAK merupakan negeri penerima peruntukan paling tinggi bagi  projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk meningkatkan liputan kesalinghubungan dan perkhidmatan internet.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata negeri itu menerima RM4.46 bilion untuk projek dilaksanakan kerajaan pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu.

“(Daripada keseluruhan jumlah itu) sebanyak RM2.93 bilion melibatkan peruntukan daripada pihak kerajaan, manakala baki sebanyak RM1.53 bilion merupakan secara komersial oleh syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya semasa berucap di program Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Krokong semalam.

Menurutnya, projek Jendela merangkumi dua fasa bertujuan untuk meningkatkan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan internet yang berkualiti untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan.

“Sebanyak 864 buah menara telekomunikasi 4G telah dirancang untuk Sarawak menerusi Jendela Fasa 1. Hingga suku kedua 2023, sebanyak 213 menara telah beroperasi, manakala baki 651 menara dijadualkan beroperasi secara berperingkat hingga suku ketiga 2024,”tambahnya.

Post a Comment

0 Comments