Ucapan Sanusi boleh pecah belah masyarakat, kata bekas MB


BEKAS MENTERI BESAR
Kedah ke-8, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa akaun TikTok Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah digantung kerana ucapannya berpotensi memecahbelahkan masyarakat.

Mahdzir yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) justeru mengingatkan walaupun kebebasan bersuara adalah hak bagi setiap rakyat, namun ia tetap ada batasannya.

“Di seluruh dunia, kebebasan ada batasnya. Malah di Singapura, terdapat ISA, dan setiap negara mempunyai undang-undang menentang hasutan.

“Kebebasan adalah penting, tetapi ia perlu dikenal pasti batasannya. Apabila seseorang melampaui batasan dan menyebabkan kegusaran kepada orang lain, maka sudah tiba masanya untuk tutup (perkara tersebut),” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan BN Bahagian Merbok pada Ahad.

Mahdzir juga mengingatkan, adalah menjadi tanggungjawab seseorang pemimpin tidak kira kerajaaan mahupun pembangkang agar menetapkan batasan kepada kebebasan bersuara bagi mengelakkan peningkatan kebencian dalam masyarakat.

“Kita mempunyai dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan. Pertama, perpaduan dan kedua kita tidak boleh menaruh kebencian atau mengeluarkan perkataan yang menghasut kebencian. Kita harus memberi keutamaan kepada perpaduan.

“Jika kita tidak berhati-hati, perpaduan dapat mudah hancur dan ia boleh membawa kepada permusuhan antara bangsa Melayu dan Cina, Cina dan India, India dan Melayu dan sebagainya,” tambahnya.

Semalam, Sanusi bahawa akaun TikToknya disekat sekali gus menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya itu bagi memudahkannya mendekati rakyat,

Untuk rekod, pada November 2022, Tiktok telah memaklumkan ahli atau parti politik yang menggunakan TikTok untuk menyebarkan kandungan yang mengelirukan, maklumat palsu, atau iklan politik, akan dilarang dari platform tersebut.

Ketua Dasar Awam (Malaysia dan Filipina) Tiktok, Kristoffer Rada, dilaporkan berkata, platform tersebut akan melarang penyebaran maklumat palsu yang boleh menyebabkan kerosakan kepada komuniti, termasuk maklumat mengelirukan berkaitan pilihan raya dan proses sivik yang lain.

Jangan buat kenyataan pecah belah masyarakat
Sementara itu tambah Mahdzir, rakyat di negara ini perlu menerima bahawa negara ini berbilang kaum dan perlu saling menghormati antara satu sama lain, sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu mengakui bahawa majoriti penduduk Malaysia adalah Muslim dan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, semua pihak menerima bahawa Islam adalah agama rasmi,” tambah beliau.
 

Post a Comment

0 Comments