PARTI Amanah Negara (Amanah) yakin pendakwaan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Selasa tidak akan menyebabkan berlaku ‘gelombang hijau’.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini kerana rakyat sedar tindakan mahkamah tersebut dibuat berlandaskan undang-undang negara dan bukan bermotifkan politik.
"Saya rasa anak-anak muda, orang (masyarakat) Melayu sebenarnya faham apa akhlak dan budi pekerti orang Melayu yang sepatutnya. Saya tidak rasa ia akan menjadi gelombang besar untuk rakyat menyokong tokoh politik seperti ini.
"Rakyat boleh menilai dan untuk itu berpeganglah pada prinsip, jangan melampau ataupun melampaui batas,” katanya kepada pemberita.
Salahuddin sebelumnya ditemui pada program pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Air Asia Superapp di KL Sentral pada Selasa.
Pada Selasa, Muhammad Sanusi, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut terhadap institusi diraja berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politiknya.
Muhammad Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
Bagaimanapun Muhammad Sanusi tidak mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
0 Comments