PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) membuka peluang kepada ahlinya yang berminat
untuk menawarkan diri sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)
untuk menghantar borang pencalonan.
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi
Ramli berkata, langkah itu dibuat sebagai salah satu usaha dalam
memulakan proses pemilihan calon yang demokratik, telus dan objektif.
Menurutnya,
ia juga dapat meyakinkan bakat-bakat dalam kalangan anggota parti dan
rakyat biasa untuk tampil menyahut seruan berkhidmat kepada masyarakat
melalui platform KEADILAN.
"Perkara ini sebenarnya telah bermula
dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. Proses yang telus ini
juga penting bagi meyakinkan pengundi bahawa KEADILAN sebagai sebuah parti
reformasi sentiasa serius untuk menampilkan calon yang berkualiti dan
berwibawa.
"Oleh itu bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri
pada Ogos ini, saya menjemput mana-mana anggota KEADILAN yang ingin
menawarkan diri sebagai calon untuk menghantar borang pencalonan
mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Parti,"
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga
Pengarah Pilihan Raya parti itu berkata, mana-mana ahli KEADILAN yang berminat
boleh menawarkan diri sebagai calon dengan mengisi borang dalam talian
yang boleh dilayari melalui pautan www.calonkeadilan.org.
![]() |
Individu berminat boleh tawar diri jadi calon |
Tambah Rafizi, kepimpinan KEADILAN di semua peringkat juga boleh menamakan calon-calon yang telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.
Proses ini katanya, terbuka kepada Jawatankuasa Cabang bagi kawasan yang ditandingi KEADILAN, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) parti itu.
"Memahami sentimen pengundi yang mahukan parti-parti menampilkan calon yang berkualiti, kita juga telah menetapkan sebuah proses saringan calon yang adil dan telus.
"Proses saringan ini akan dikendalikan oleh sebuah Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh saya selaku Pengarah Pilihan Raya dan dianggotai oleh semua Naib-Naib Presiden KEADILAN seramai tujuh orang.
"Seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti, kuasa untuk memilih calon adalah hak mutlak presiden. Justeru, Jawatankuasa Calon bertanggungjawab untuk membuat penapisan dan menyenarai pendek tiga calon terbaik untuk diangkat kepada Presiden KEADILAN yang seterusnya akan memuktamadkan satu nama sebagai calon," jelasnya.
-AA
0 Comments