Keputusan PRN tak jejaskan Kerajaan Perpaduan - Kit Siang


DAP menolak dakwaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi akan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, berkata PRN enam negeri itu sebaliknya bakal menjadi peluang kepada pengundi untuk melihat negara kembali menjadi juara dunia.

Menurut beliau, undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak boleh dilakukan kerana Ahli Parlimen kini terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.

"Saya bersetuju dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengatakan sukar dari 'segi angka' untuk Kerajaan Persekutuan tumbang selepas PRN di enam negeri pada Ogos, memandangkan undi tidak percaya tidak akan terjadi di Parlimen (Dewan Rakyat) kerana Ahli Parlimen tidak lagi boleh menukar parti mereka.

"Tetapi, PRN di enam negeri ini memiliki kepentingan lebih besar iaitu akan menentukan sama ada Malaysia dapat diselamatkan dan kembali kepada prinsip asal pembinaan negara majmuk seperti diterapkan tokoh kemerdekaan negara (termasuk tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga Presiden Umno) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik mendakwa Kerajaan Pusat akan tergugat dan tidak mustahil jatuh, jika Perikatan Nasional (PN) mempertahankan Kelantan, Terengganu, dan Kedah, selain menawan Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, negara memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun untuk sekali lagi menjadi juara dunia, selain menjadi contoh bagi dialog, persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada dunia.

"Kita sudah berada di permulaan dengan tujuh bulan bersama Kerajaan Perpaduan (diterajui) Anwar.

Keputusan PRN tak jejas persekutuan 
"Adakah rakyat akan mengabaikan usaha besar bagi menyelamat dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip asal bagi membina negara majmuk atau memilih untuk kembali kepada hala tuju sebelum ini ke arah Malaysia sebagai negara yang berpecah-belah, gagal, dan teruk dalam beberapa dekad akan datang?

"Inilah pilihan yang perlu dibuat oleh rakyat di enam negeri yang berdepan dengan pilihan raya pada Ogos ini, bagi pihak semua rakyat Malaysia," katanya.

Post a Comment

0 Comments