KADAR pengangguran golongan belia pada suku pertama tahun ini turut satu peratus kepada 10.1 berbanding 11.1 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud mendedahkan perkara itu semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambahnya, walaupun isu pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia itu dilihat sebagai fenomena global yang dihadapi oleh kebanyakan negara di seluruh dunia, namun kerajaan akan terus melakukan perancangan bagi menangani isu itu di negara ini.
"Mengambil kira kumpulan umur dalam proses transisi daripada alam pengajian kepada pasaran pekerjaan seterusnya melalui proses untuk mendapatkan pekerjaan.
"Kerajaan akan terus merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran secara keseluruhannya termasuk dalam kalangan belia di bandar dan di luar bandar," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Sepanggar itu lagi, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga turut mempergiatkan beberapa program bagi menggalakkan tenaga kerja membabitkan kalangan belia.
Ia antaranya melalui platform MyFutureJobs yang menyediakan lebih satu juta kekosongan jawatan dan 148,000 kekosongan jawatan profesional.
Selain itu, sebanyak 1,366 siri karnival kerjaya telah dilaksanakan di seluruh negara dan sehingga kini seramai 21,740 pencari kerja telah berjaya mendapatkan penempatan pekerjaan dengan 78.1 peratus daripadanya adalah golongan belia.
![]() |
Kerajaan akan terus tingkat usaha atasi pengangguran |
"KSM turut mempergiat usaha mengadakan program melalui Talent Corp dengan fokus pembangunan, kebolehpasaran bakat muda negara melalui sinergi dan kerjasama merentasi kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi," katanya dipetik.
0 Comments