Anwar dedah kontroversi libatkan anak-anak Mahathir


TEMPOH pemerintahan Tun Dr. Mahathir dicemari pelbagai kontroversi kewangan termasuk `bail-out’ dan dasar penswastaan yang memberi manfaat kepada individu-individu terpilih berbanding masyarakat Melayu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN itu melalui dokumen pembelaa terhadap saman difailkan Dr Mahathir berkata, meskipun pentadbiran Dr Mahathir mengumumkan tidak `bail out’ syarikat-syarikat yang bermasalah ketika Krisis Kewangan Asia 1997, namun Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menyelamatkan Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) yang ketika itu bermasalah.

KPB yang kini dikenali sebagai Pos Logictics Berhad jelas Anwar ada kaitan dengan anak sulung Dr Mahathir, Mirzan yang ketika itu adalah pengarah dan pemegang saham majoriti.

Mengulas lanjut perkara itu, Anwar yang kini Perdana Menteri turut mendakwa pada 6 Mac 1998, Petronas mengumumkan untuk mengambil alih aset-aset perkapalan KPB atas arahan Dr. Mahathir walaupun beliau (yang ketika itu Menteri Kewangan) membantahnya.

Tegas Anwar, Dr Mahathir mengarahkan beliau mencipta satu skim khas bertujuan mengeluarkan (disbursing) kira-kira RM2 bilion daripada Perbendaharaan untuk membantu KPB.

Walau bagaimanapun beliau memaklumkan kepada Dr. Mahathir bahawa jika cadangan itu diteruskan, Perbendaharaan perlu membentangkan satu belanjawan tambahan kepada Parlimen untuk kelulusan.

“Plaintif (Dr. Mahathir ) ternyata kecewa dengan jawapan saya dan menekankan bahawa ia akan memalukan Mirzan dan beliau sendiri jika perkara tersebut dibentangkan kepada Parlimen untuk dibahaskan,” ujar Anwar dalam pembelaannya yang difailkan pada Rabu melalui Tetuan Thomas Philip.

Dr. Mahathir memfailkan saman ganti rugi RM150 juta terhadap Anwar atas dakwaan memfitnah dalam ucapan yang dibuat Anwar pada Kongres Nasional Khas 2023, tiga bulan lalu yang membawa maksud dia menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekayaan peribadi dan keluarga

Anwar menafikan membuat fitnah dalam kenyataan dibuatnya itu.

Sementara itu, Anwar dalam dokumen pembelaan itu yang dipetik media turut mendakwa Tun Dr. Mahathir menggunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan keluarga.

Ia jelasnya boleh dibuktikan melalui tindakan Telekom Malaysia Berhad (Telekom) memberikan kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn. Bhd. (Opcom) yang mana ketika itu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarahnya bermula 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Anwar kemuka hujah melalui pembelaannya
Ujar Anwar, melalui surat award bertarikh 17 November 2003, Telekom telah melantik Opcom sebagai kontraktor bagi pembekalan kabel fiber optik dan perkhidmatan kejuruteraan dengan jumlah kontrak sebanyak RM214.2 juta.

Tidak terhenti disitu, Anwar turut mendakwa pada 2002, Petronas turut memberikan lesen fabrikasi (offshore structures) yang besar kepada Kencana Petrolium Berhad (sebelum itu dikenali sebagai Kencana Capital Sdn. Bhd.) yang ketika itu baru ditubuhkan oleh anak lelaki kedua plaintif, Tan Sri Mokhzani.

Kencana Capital kemudian dijenamakan semula sebagai Kencana Petrolium Berhad (kini dikenali sebagai SE Petroleum Berhad).

Post a Comment

0 Comments