PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ruang sepenuhnya untuk media di negara ini mengkritik kerajaan.
Dalam ucapan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 Ipoh pada Ahad, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata media perlu bebas menjalankan fungsi mereka sepenuhnya.
Kritikan terhadap kelemahan pemimpin termasuk perdana menteri jelasnya sesuatu yang harus dilakukan media dan pemimpin tidak harus merasa resah kepada kritikan.
"Saya lontarkan idea ini kerana saya yakin apa kita lakukan, dan saya bersedia bertempur dengan hujah dan kalau benar ada kelemahan, kita bersedia mohon maaf dan melakukan perubahan yang wajar," jelasnya.
"Jadi sebab itu, rakan-rakan para wartawan yang beri sambutan yang luar biasa pada hari ini, harus menerima kenyataan.
“Jangan terasa mesti ada self-censorship kerana kalau kita mahu semarakkan suasana kebebasan dan demokrasi ini, kita harus hormati (prinsip kebebasan media).
Mengulas lanjut Anwar mengenai kebebasan media, beliau turut menegaskan tidak mahu amalan lama oleh media sebelum ini diteruskan termasuk tidak memberi ruang untuk pembangkang dinafikan hak mereka untuk bersuara.
Sikap seperti itu jelasnya tidak membantu dalam membina ketemadunan sesebuah negara.
"Ini tak bermakna kita teruskan beberapa aspek budaya lampau, di mana siapa yang memerintah itu mendapat sanjungan dan pujian dan yang membangkang atau tak bersama pemerintah itu akan dicaci dan dihina. Saya tak mahu (amalan) ini diteruskan.
"Maknanya di kalangan rakan-rakan kita yang tak bersama, atau memilih untuk menentang, itu harus diberikan hak menyuarakan tanpa merasa mereka itu terus dicela, dihina seperti mana yang kami alami dulu.
"Inilah perubahan dalam erti kata politik yang berdasarkan nilai," tambahnya.
![]() |
PM gesa pengamal media pegang prinsip baik |
Beliau turut mengingatkan kepada pengamal media tentang bahaya menyebarkan sentimen agama dan perkauman sempit, yang menurutnya boleh mengancam keselamatan negara.
0 Comments