SEORANG Ahli Parlimen menggesa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencontohi sikap kerajaan Kelantan dan Terengganu yang menyambut baik penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohammed Taufiq Johari yang mewakili pengundi Parlimen Sungai Petani berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang secara baik menerima penganjuran majlis itu dilihat lebih memahami serta menghayati semangat kebersamaan pada bulan Syawal.
"Muhammad Sanusi seharusnya faham bahawa kedatangan Syawal adalah berkaitan dengan kemaafan dan bukannya pergaduhan.
“Kalau dulu semua asyik bertumpu di Lembah Klang, kali ini Perdana Menteri meraikan semua terutamanya yang jauh ‘nun’ di utara dan Pantai Timur.
“Sebagai anak Kedah, memang saya seronok sangat apabila ada pengumuman rumah terbuka Perdana Menteri dibawa sampai ke negeri ini. Bukan apa, baru sekaranglah anak Kedah ini rasa disambut serta tidak dipinggirkan," katanya melalui ciapan dibuat di media sosial Twitter.
Muhammad Sanusi sebelum ini terus menyerang pentadbiran Anwar apabila mendakwa penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor hanyalah satu program kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Katanya penganjuran rumah terbuka itu tidak wajar diadakan kerana menelan belanja tinggi yang bertentangan dengan langkah penjimatan kerajaan Persekutuan.
Kerajaan negeri Kelantan berbeza pandangan dengan Sanusi apabila menyatakan langkah mengadakan rumah terbuka di negeri berkenaan sebagai membuktikan kebersamaan antara Persekutuan dan negeri masih wujud.
Sementara itu, Mohammed Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah turut mengecam Sanusi apabila mendakwa program ‘makan-makan’ bersama rakyat Malaysia dianggap sebagai kempen pilihan raya.
![]() |
Mengapa takut dengan program rumah terbuka PM? |
“Jamuan ini bukan untuk parti tertentu saja sebaliknya semua boleh datang tanpa mengira Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN),”
0 Comments