SEBANYAK 12 kes COVID-19 subvarian Arcturus dilaporkan di Malaysia setakat ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Melalui satu kenyataan media pada Isnin, Dr Zaliha bagaimanapun berkata sebanyak enam kes dikesan di Sarawak, empat di Selangor manakala, dua lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kesemuanya bergenjala ringan dan stabil.
"Penilaian risiko peringkat global melaporkan risiko jangkitan dan keterukan kes yang disebabkan oleh subvarian XBB1.16 (Arcturus) adalah lebih rendah daripada subvarian XBB.1.5 dan varian/subvarian lain yang telah dilaporkan sebelum ini," katanya.
Beliau turut memberitahu, subvarian di bawah famili varian Omicron tersebut yang dikesan sejak Mac lalu itu tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan dan hospital, selain keadaan jangkitan masih terkawal.
"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskannya sebagai Variant of Interest (VOI) sejak 17 April 2023.
"Ini bermakna hasil penilaian risiko Kumpulan Pakar Teknikal Evolusi Virus SARS-CoV-WHO telah menilaikannya sebagai suatu subvarian yang memerlukan perhatian, tetapi tidak diletakkan dalam kelas varian di bawah pemantauan,” tambah beliau lagi.
Sementara itu Dr Zaliha ketika mengulas mengenai situasi COVID-19 dalam negara berkata kes terkini yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 16/2023 telah turun sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada 5,149 kes pada ME 15/2023 kepada 4,817 kes.
![]() |
Situasi penularan dalam negara masih terkawal |
KKM, jelas beliau lagi akan terus memantau situasi dan varian atau subvarian COVID-19 di dalam dan luar negara, selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus COVID-19 dengan selamat.