PENGANJURAN Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan di enam negeri tidak seharusnya dipolitikkan.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setiap Perdana Menteri ada cara tersendiri untuk mendekati rakyat dan sesi Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Anwar yang dirancang bermula di Kedah pada 19 April ini adalah sebagai sebahagian medium bagi kepimpinan negara beramah mesra dengan rakyat.
"Pada tahun ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya seperti kebiasaannya yang dilakukan setiap Perdana Menteri buat di pagi hari raya. Sebaliknya, beliau memutuskan untuk diadakan di luar Kuala Lumpur.
"Itu cara atau 'style' masing-masing apabila seseorang Perdana Menteri itu diberikan amanah. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengadakannya dengan apa juga cara,' katanya kepada pemberita dalam satu program di Serkat Pontian, pada Isnin.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menganggap majlis rumah terbuka itu sebagai program kempen PRN dan ia tidak wajar diadakan.
Walau bagaimanapun, orang ramai menyambut baik keputusan kerajaan menganjurkan sesi rumah terbuka itu kerana ia dilihat sebagai peluang untuk rakyat mendekati pemimpin kerajaan.
Pesara badan berkanun, Che Anuar Che Ngah, 71 dipetik laporan portal Sinar Harian berkata, pendekatan itu merupakan usaha yang baik kerana dapat mengeratkan silaturahim antara barisan pemimpin dan rakyat.
"Lupakan soal politik dan buka fikiran untuk berkasih sayang antara satu sama lain," katanya dipetik.
Sementara itu Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika mengulas dakwaan Sanusi berkata pembangkang tidak sewajarnya cemburu terhadap kerajaan Persekutuan yang menganjurkan rumah terbuka di enam negeri tersebut.
![]() |
Pembangkang perlu hormati keputusan PM |
"Rakyat datang untuk beramah mesra dengan pemimpin ketika rumah terbuka. Itu tiada masalah, janganlah Hari Raya pun hendak dipolitikkan," tegas Salahuddin.
0 Comments