PM harap pencapaian Michelle Yeoh jadi aspirasi penggiat seni

 


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 semalam.

Dalam hantaran di laman Twitternya, Anwar menyifatkan pencapaian pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu sebagai telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa terutama apabila Yeoh menjadi pelakon pertama berdarah Asia memenangi anugerah paling berprestij itu.

"Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan. Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia!," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Yeoh, 60 merangkul anugerah itu menerusi lakonannya dalam filem drama komedi "Everything Everywhere All at Once” menewaskan empat pencabar lain bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Cate Blanchett (Tár), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).

Pada Januari lalu, Yeoh muncul pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe ke-80 melalui filem sama.

Anwar ucap tahniah kepada Yeoh
Dalam perkembangan sama,  Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan Yeoh memenangi anugerah tersebut.

melalui hantaran di Facebooknya, Fahmi menyifatkan kejayaan sebagai bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori itu dalam sejarah Oscars sebagai sangat membanggakan.


Post a Comment

0 Comments