Penyertaan GP dan doktor kontrak jayakan insiatif baru KKM dialu-alukan

 


KLINIK perubatan am swasta (GP) dan doktor kontrak digalakkan untuk bekerjasama bagi menjayakan inisiatif melanjutkan waktu operasi selepas waktu pejabat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata sokongan dan kerjasama itu sangat penting kerana mampu membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mengurangkan beban tugas dalam kalangan petugas kesihatan selain menangani isu kesesakan.

Lebih penting, kerjasama itu jelasnya akan memberi peluang kepada pesakit mendapat perkhidmatan terbaik.

“Kita (KKM) sudah kenal pasti 52 klinik kesihatan (di seluruh negara) yang memerlukan pemanjangan waktu operasi selepas waktu pejabat,” kata Zaliha.

Terdahulu Ahli Parlimen Sikijang itu hadir merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2023 di Putrajaya pada Ahad.

Pada Jumaat, KKM mengumumkan pelaksanaan pemanjangan Waktu Operasi Selepas Waktu Pejabat di 52 klinik kesihatan di seluruh negara.

Menurut laman Facebook KKM, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital di kawasan bandar berikutan jumlah populasi yang semakin meningkat selain kecenderungan pelanggan mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik KKM.

Menurut Zaliha, lanjutan operasi ini tidak membabitkan semua klinik kesihatan, namun ia sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan di hospital ketika ini.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, lanjutan operasi klinik kesihatan ini masih di peringkat audit dan ia sudah hampir selesai," jelasnya.

Usaha tambah baik perkhidmatan dilaksana
Sehubungan pelaksanaan itu, waktu operasi klinik di Lembah Klang kini dipanjangkan dari pukul 5 petang hingga 9.30 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu.

Manakala di Kedah, Kelantan dan Johor, waktu operasi pada hari Ahad hingga Khamis ialah pukul 5 petang hingga 9.30 malam, dan 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu.
 

Post a Comment

0 Comments