Menteri KKD sokong larang ahli politik guna Masjid untuk kepentingan diri


LARANGAN
beberapa negeri menguatkuasakan larangan untuk ahli politik mengadakan ceramah atau kuliah di masjid dan surau merupakan peringatan bahawa premis agama bukan platform yang boleh digunakan untuk kepentingan politik mana-mana kumpulan atau individu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bercakap ketika menghadiri sesi dialog awam di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor pada Ahad berkata, langkah itu juga dilihat mampu membantu meredakan suhu politik negara dan gejala ekstremis politik yang semakin meluas di negara ini.

“Arahan larangan yang dikenakan kepada ahli politik khususnya di kawasan masjid itu adalah satu usaha yang saya lihat dapat bantu redakan (suhu politik) dan KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) juga akan mainkan peranan untuk tingkatkan kesedaran peri pentingnya hormat undang-undang ini.

Sebab kita ke masjid untuk beribadat bukan berpolitik, jadi politik tu biarlah di luar dan jangan salah gunakan mana-mana pentas dan ruang yang tidak sepatutnya,” katanya.

Ketua Penerangan KEADILAN itu turut mengingatkan sebarang persepsi ketidakstabilan kerajaan hanya merugikan negara dan mengurangkan kepercayaan pelabur.

Beberapa negeri antaranya Terengganu, Kelantan dan Perak baru-baru ini mengumumkan larangan kepada mana-mana individu yang mempunyai keterlibatan di dalam politik untuk menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau bagi menjaga kemuliaan institusi keagamaan daripada sebarang unsur politik.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pula pada Januari lalu menitahkan larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini untuk menyebar soal politik.

Sementara itu, Fahmi turut menjelaskan usaha meredakan suhu politik dan membendung gejala ekstremis politik merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan politik dan Kerajaan Persekutuan tidak diganggu.

Institusi agama tak wajar digunakan untuk berpolitik
“Kestabilan politik dan kerajaan persekutuan itu penting dalam menarik keyakinan pelabur luar, contohnya pelaburan oleh AWS (Amazon Web Services) itu ternoktah kerana keyakinan mereka kepada kestabilan negara kita.

“Kalau nak dikatakan kenapa tak tandatangan sebelum ini, kerana ketika itu (kerajaan terdahulu) tak stabil tapi Alhamdulillah kestabillan itulah yang didambakan bukan hanya pelabur tapi rakyat… jadi sama-sama kita bangunkan negeri dan negara ini,” katanya. 

Post a Comment

0 Comments