KPDN teliti luas program Rahmah babitkan barang persekolahan



KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti untuk memperluas Program Payung Rahmah kepada perkakasan persekolahan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi menjayakan inisiatif berkenaan yang dijangka dilaksana mulai tahun hadapan agar dapat membantu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.
 
“Dalam tempoh 100 hari ini kita akan fokuskan pada Menu Rahmah terlebih dahulu. Bagaimanapun untuk pakej persekolahan, secara formalitinya saya akan cuba uruskan agar pelaksanaannya lebih teratur seperti Menu Rahmah ketika ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu ditemui media selepas majlis pelancaran Menu Rahmah McDonald's di Petaling Jaya semalam.

Sementara itu jelasnya, buat ketika ini,  bantuan persekolahan masih disalurkan menerusi program Kembali ke Sekolah (Back to School) yang dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen.

Kementerian akan teliti cadangan
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat pada Disember lalu turut mengumumkan bahawa pentadbirannya bersetuju menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan bagi meminimumkan impak kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat.

Bantuan bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa telah diagihkan pada Januari lalu.


Post a Comment

0 Comments