KKM ambil langkah proaktif kekang wabak lepas banjir

 


LANGKAH proaktif akan dilaksana Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani sebarang penyakit bawaan air susulan kejadian banjir di beberapa negeri yang sedang melanda.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa pihak KKM akan memantau penyakit bawaan terutama kencing tikus (leptospirosis) dan keracunan makanan yang sering berlaku terutama selepas banjir melanda sesuatu kawasan.
 
"Kita juga akan menggerakkan pasukan lain (pasukan kesihatan) untuk aktiviti pembersihan terutama di fasiliti-fasiliti kesihatan yang terjejas dengan bencana tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita.

Zaliha sebelumnya merasmikan Nursing Professional Group (NPG) International Nursing Conference 2023 bertemakan Invest in Nursing: Then, Now and What's to Come di Melaka pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai banjir kali ini, beliau turut menjelaskan bahawa pihak kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketika berlaku banjir terutama dalam menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS).

Antara perkara dilakukan termasuklah melaksanakan aktiviti semburan untuk mengelak penyakit berjangkit selain membuka klinik bergerak sebagai rawatan segera kepada mangsa banjir yang sakit.

Selain itu bagi mengekang penularan COVID-19, pihak KKM juga turut melaksana saringan kepada mangsa banjir yang berpindah ke PPS.
 
Keadaan banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka sejak beberapa hari lalu semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa dipindakan ke PPS setakat petang semalam mencecah 50,000 orang.

Johor yang paling terjejas terus dengan bencana itu mencatatkan jumlah mangsa di pindahkan ke PPS meningkat kepada 46,742 orang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan sebanyak 264 PPS telah dibuka.

Sementara itu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil pendekatan terbaik dalam membantu mangsa banjir kali ini.

Pada Jumaat, beliau memaklumkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri Johor untuk tujuan membantu mangsa dan membaiki infrastruktur yang rosak.

KKM akan pastikan wabak tak menular
Sementara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula dilapor telah membelanjakan sehingga RM615,000 untuk bekalan makanan bagi membantu mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pula memaklumkan lapan buah dewan yang akan digunakan sebagai PPS kekal dipercepat pembinaannya dengan peruntkan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memastikan mangsa-mangsa banjir mendapat kemudahan yang mencukupi dan lebih selesa.

Kemudahan itu kelak jelasnya bakal digunakan oleh pelajar dan masyarakat di luar musim bencana.


Post a Comment

0 Comments