Bangsa Melayu perlu insaf dari terus diperalat - Raja Kamarul Bahrin


ORANG
Melayu terutama kontraktor Bumiputera sewajarnya berasa “dikhianati” susulan penyelewengan yang berlaku pada program Jana Wibawa.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu dalam satu kenyataan berkata, inisiatif rangsangan ekonomi itu merupakan usaha baik membantu kontraktor Bumiputera berdepan kesukaran ketika pandemik COVID-19 yang banyak melumpuhkan syarikat tempatan.

Namun usaha baik itu tegasnya telah tercemar dan gagal mencapai objektifnya susulan tindakan segelintir individu yang “mengkhianati Bumiputera demi kepentingan rakus diri".

“Sekali lagi di sebalik topeng ‘membantu Bumiputera’, tetapi Bumiputera juga yang dikhianati oleh pimpinan sendiri.

"Sampai bila nama Bumiputera, Melayu dan Islam diperalatkan untuk kepentingan individu atau kumpulan tertentu saja?

“Bangsa Melayu perlu sedar dan insaf daripada terus diperalatkan dan ditipu pemimpin sendiri bertopengkan Melayu dan Islam di bawah helah pembelaan bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan.

Jana Wibawa, atau Program Penjanaan Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera diperkenalkan pada November 2020 semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Selain untuk meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, program itu juga bagi mempercepatkan penyampaian projek kerajaan bagi membantu merangsang pemulihan ekonomi Malaysia selepas Covid-19.

Walau bagaimanapun, Presiden Bersatu, Muhyiddin dan bekas Ketua Penerangan parti itu, Wan Saiful Wan Jan kemudian dihadap ke Mahkamah bagi berdepan tuduhan rasuah dikaitkan dengan program itu.

Malaysiakini dalam satu laporan akhir bulan lalu memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Bersatu menerima sumbangan dipercayai lebih RM300 juta daripada kira-kira 10 kontraktor yang dianugerahkan pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Raja Kamarul Bahrin gesa orang Melayu sedar
Akaun bank milik parti itu telah dibekukan pada pertengahan Januari bagi membantu siasatan.

Sementara itu Raja Kamarul yang juga bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, sebagai arkitek yang pernah berurusan dengan kontraktor Bumiputera, beliau tahu ramai menaruh harapan tinggi program Jana Wibawa akan menjadi “penyelamat” mereka.

Sesetengah kontraktor Bumiputera yang bergelut dari segi kewangan ketika pandemik, terpaksa menjual perniagaan, barang kemas dan harta keluarga untuk terus bertahan.

Post a Comment

0 Comments