MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar memberi amaran keras kepada majikan agar tidak memberhentikan pekerja tempatan bagi menggaji pekerja asing untuk menggantikan mereka.
Sivakumar pada sidang media di Putrajaya selepas menyampaikan sijil kepada graduan program Pensijilan Profesional Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2023 berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang didapati melakukan perkara itu.
Kerajaan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bukan untuk menggantikan pekerja tempatan sebaliknya bagi memenuhi keperluan di lima sektor kritikal.
"Tiada sebarang alasan akan diterima sekiranya kerajaan mendapati situasi ini berlaku hingga menyebabkan pekerja tempatan hilang mata pencarian," katanya.
Amaran itu susulan aduan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini yang mendakwa, terdapat pekerja tempatan di sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran) telah diberhentikan untuk digantikan dengan pekerja asing.
Pada 10 Jan lalu, satu Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.
Kelonggaran bukan untuk sisih pekerja tempatan |
Langkah itu sebagai sebahagian usaha melindungi operasi sektor-sektor kritikal antaranya perladangan, pertanian dan pembinaan yang kurang diminati rakyat tempatan.
Dianggarkan lebih 700,000 pekerja warga asing telah pulang ke negara masing-masing ketika pandemik COVID-19.
0 Comments